Tuesday, December 8, 2009

Penerbitan buku "Perak Darul kartun"

Memandangkan tidak ada respon positif dari pihak KDN mengenai permit penerbitan Gedung Kartun, Sepakat Efektif terpaksa meneruskan penerbitan kartun itu dalam bentuk lain. Kami dengan ini mengumumkan penerbitan Gedung Kartun edisi kedua dalam bentuk buku dengan tajuk "Perak Darul kartun" (PDK).

Kenapa kami memilih buku? Buku adalah penerbitan tidak berkala, dengan itu tidak memerlukan permit penerbitan, hanya ISBN yang mana kami telah memperolehinya.

PDK mempunyai ketebalan 80 muka surat tidak termasuk kulit muka (dengan penambahan 12 muka surat berbanding Gedung Kartun) dan dijual dengan harga RM10 setiap naskhah. Cetakan pertama adalah sebanyak 10, 000 naskhah dan akan diedarkan ke seluruh negara. Ia juga boleh dibeli secara online melalui website cartoonkafe.com.

Penyambungan penerbitan ini dalam bentuk buku membuktikan pihak kami tidak berhasrat berkonfrontasi dengan pihak KDN kerana itu bukanlah matlamat kami.

Matlamat kami adalah untuk menghasilkan karya-karya alternatif dalam konteks Malaysia, dengan isu-isu dan pendekatan yang selama ini gagal diketengahkan oleh karyawan negara ini, khususnya kartunis.

Kami percaya kartunis bukan sahaja berperanan mengenengahkan unsur lelucon dalam karya, tetapi punya tanggung jawab sosial untuk mengkritik, merakam realiti, memberi informasi, membawa suara rakyat dan mendidik.

Kami berpendirian tegas bahawa kartunis tidak boleh berdiam diri atau berkecuali, tetapi harus menyatakan pendirian apabila masyarakat atau negara berdepan dengan krisis. Dan pendirian itu harus diterjemahkan dalam karya.

Sehubungan itu, kami akan terus menghasilkan kartun-kartun alternatif dari masa ke semasa biar pun menghadapi berbagai rintangan.

Kandungan

Seperti juga Gedung Kartun, PDK menampilkan karya-karya kartun dan rencana yang mengkritik pedas kebobrokan, salah-guna kuasa, rasuah penguasa dengan sepuluh muka surat pertama ditumpukan kepada isu 'rampasan kuasa' di Perak oleh kerajaan BN.

Selain itu, turut dimuatkan ialah ruangan khas watak pemimpin negara bernama “Datuk Nazak”, slot “Negaraku” yang memaparkan kritikan pedas terhadap isu semasa, tiga muka surat karya Enot bertajuk “Nostalgia 98” yang mengimbas kembali sejarah ketika gelombang reformasi tercetus. Ruangan “Selangor Tanahairku” diteruskan untuk memberi publisiti tentang dasar-dasar kerajaan Pakatan Rakyat dengan pelbagai program kebajikan yang telah dijalankan.
PDK juga menyiarkan komik empat belas muka surat karya ahli akademik dan sejarawan Dr Farish Noor bertajuk “Istana Kita”.

Sasterawan Negara, A. Samad Said menyumbangkan puisi tajamnya mengkritik pemimpin yang cakap tak serupa bikin sementara penyair Pyanhabib terus menulis di dalam kolumnya (seperti di dalam majalah Gedung Kartun) yang diberi nama “Racau”.

Aktivis Hishamuddin Rais menulis cerpen ‘Riwayat Tok Seri Jantan Takubin” dan seniman Rahmat Haron membongkar kisah misteri “Siri Bercakap Dengan Puaka”.

PDK juga menampilkan peguam muda Puspa Ros menulis tentang undang-undang di dalam kolumnya “Dari Meja Loyar” yang bertujuan untuk membangkitkan kesedaran rakyat tentang hak-hak mereka yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tenaga Kreatif

1. Ketua Editor/founder: Zunar (Zulkiflee Anwar Haque)
2. Ronasina (Mohd. Affandi Ramli): Editor, kartunis
3. Jonos (Nor Azlin Ngah): Ketua Pelukis/Kartunis
4. Art (Azhar Saad): Kartunis, Pelukis Cover
5. Orangorang (Azlan Isa): Kartunis dan colourist
6. Naza (Nazruddin Abu Bakar): Pereka Grafik Kanan


Kartunis penyumbang: Haili, Oly, Roy, Enot, AJ, Warih, Kidol, Madsein, Kawe, Ubi Lepih, Nur, Fahmi dan Buzu.

Penulis penyumbang/kolumnis: A Samad Said, Hishamuddin Rais, Pyanhabib, Rahmat Haron, Pusparos dan Benludin.

4 comments:

  1. Tahniah!

    Tanya sikit jer pasal tajuk buku.. adakah akan bertukar untuk keluaran mendatang?

    sekarang Perak Darul Kartun.. next.. Selangor Darul Perangsang.. next Kelantan Darul Banjir .. sekadar contoh..

    ReplyDelete
  2. Tahniah!
    Saya sudah pesan online. Harap esok dapat terima dan baca ok.

    ReplyDelete
  3. Terengganu Darul Runtuh Belaka..
    Lepas ni lagi best..

    ReplyDelete
  4. Harap janganlah nanti keluar pula tajuk Selangor Darul Khinzir, Kelantan Darul Aids, Pulau Pinang Darul Roboh, Kedah Darul Sembelih Babi dan lain-lain.

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin