Saudara saudari peminat, penyokong dan teman seperjuangan sekelian,
SEJAK rampasan oleh pihak KDN, permintaan terhadap Gedung Kartun meningkat mendadak. Walau bagaimana pun ingin ditegaskan bahawa, kita tidak mahu menghidupkan Gedung Kartun atas kezaliman kerajaan, sebaliknya majalah ini harus berdiri sendiri atas sokongan pembaca.
Atas sebab itu, saya berharap supaya saudara-saudari terus memberi sokongan supaya Gedung Kartun dapat terus bertahan bukan kerana majalah ini kelolaan saya, Jonos, Ronasina dan teman-teman, tetapi kerana ia kerana ia adalah satu wadah alternatif bentuk baru.
Ia adalah satu-satunya majalah kartun yang mengupas isu semasa dari sudut alternatif.
Melalui majalah ini, saya berharap untuk melahirkan lebih ramai kartunis yang peka terhadap isu-isu semasa dan dekat dengan hati nurani masyarakat serta berani bangkit menentang kezaliman melalui pena dan dakwat.
Kerana mesej-mesejnya disampaikan dalam bentuk santai dan lucu, Gedung Kartun berpotensi menjadi satu wadah yang sangat berkesan dan membuka minda kesedaran masyarakat merentasi batas politik kepartian.
Saya diberitahu oleh seorang kakitangan KDN bahawa kerajaan cukup khuatir dengan perkembangan ini, kerana itu ia dirampas, bukan kerana isu permit.
Saya berharap sokongan berterusan dari saudara-saudari selain mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan selama ini. Bersama kita pertahan majalah kartun milik kita bersama ini.
Mungkin saudara-saudara boleh memainkan peranan agar Gedung Kartun disebarkan kepada kawan-kawan atau boleh dibawa pulang ke kampung sebagai buah tangan di Hari Raya agar penyebaran maklumat akan lebih meluas.
Zunar
29 Ogos 09
zunar49@gmail.com
FB: Zunar kartunis
Thursday, August 27, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
xsempat nk beli.
ReplyDelete